Selamat Datang, Trash Hero!
Terima kasih kerana sudi menyertai kami.
Adakah anda bersedia untuk mengubah dunia?
Tindakan kita menginspirasi orang lain untuk menjaga alam sekitar dan mengubah sikap mereka.
Perubahan ini akan merebak ke seluruh lapisan masyarakat supaya akhirnya, kita semua dapat hidup di dunia bebas dari pencemaran plastik.
Sekarang, kami akan tunjuk caranya…
ISI KANDUNGAN
Mukadimah
1. Membina pasukan
2. Bahan pemasaran
3. Mengadakan program pembersihan
– Ke mana tujunya sampah?
– Penyelesaian benar dan palsu untuk sampah
4. Menjalankan program botol isian semula
5. Memulakan program beg guna semula
6. Libatkan kanak-kanak
7. Libatkan komuniti yang lebih luas
8. Mengunakan media sosial dan tradisional
9. Mendapatkan penaja
10. Mengelola sukarelawan
11. Jangan putus asa!
12. Sokong misi Trash Hero yang lebih luas
Mukadimah
TRASH HERO: Memberi inspirasi terhadap pengurusan sisa
Trash Hero adalah satu gerakan global, dikendalikan oleh sukarelawan.
Misi kami adalah untuk membawa masyarakat bersama-sama untuk membersihkan dan mencegah sisa – dan akhirnya mencipta dunia tanpa sampah.
Ditubuhkan di Thailand pada tahun 2013, kami sekarang aktif di lebih daripada 140 lokasi di seluruh dunia melalui chapter tempatan dan organisasi negara.
Badan koordinasi global didaftarkan di Switzerland sebagai Trash Hero World, persatuan bukan berkeuntungan.
Apa yang kami lakukan
Kami ada tiga program asas, dimana semuanya dijalankan oleh para sukarelawan:
Pembersihan
Kami menyelenggarakan kegiatan mingguan di mana kami memungut sampah, mengundang, serta memotivasi masyarakat untuk menjadi Trash Hero.
Botol dan Beg Ulang Pakai
Kami menyediakan botol besi tahan karat kepada perniagaan lokal pada harga kos. Perniagaan tersebut menjual botol untuk mendapatkan keuntungan kecil dan menawarkan pengisian semula air percuma. Sebagai tambahan, kami menghasilkan beg shopping yang boleh digunakan semula, dan menyediakannya pada harga kos kepada perniagaan lokal untuk tetamu dan pelanggan mereka.
Pendidikan & Kanak-kanak
Kami memiliki buku cerita kanak-kanak kami sendiri dengan cabaran dan ganjaran, dan kami melawat sekolah dan menjalankan bengkel untuk meningkatkan kesedaran dan menunjukkan solusi mudah untuk masalah alam sekitar.
Bagaimana kami melakukannya
Pendekatan Trash Hero adalah berdasarkan lima prinsip berikut:
- Positif: kami fokus pada solusi (bukan masalah), masa depan (bukan masa silam) dan pada apa yang berkesan (bukan apa yang salah atau siapa yang harus dipersalahkan).
- Inklusif dan neutral: kami bekerja secara bebas, menyatukan komuniti untuk satu misi yang memanfaatkan semua.
- Tunjukkan, bukan mengarah, lalu ulangi: kepimpinan melalui teladan, mengambil langkah kecil dan mudah, jika dilakukan berulang kali, membawa perubahan besar. Dengan tindakan kerap, perubahannya bertahan lama.
- Berfikir secara global, bertindak secara lokal: chapter tempatan kami adalah kekuatan penting pergerakan kami. Trash Hero World menyediakan latihan, bahan dan platform global untuk menguatkan suara mereka.
- Tidak melibatkan wang: chapter kami tidak mengambil atau membuat duit melalui aktiviti mereka. Perbelanjaan ditanggung oleh pendermaan (barang dan perkhidmatan) daripada penaja tempatan, dan sebarang produk yang dijual pada harga kos, dengan resit yang tersedia untuk umum.
Apakah yang chapter Trash Hero lakukan?
Chapter tempatan membawa misi dan pendekatan Trash Hero kepada komuniti mereka. Mereka boleh menjalankan mana-mana atau segala projek yang dinyatakan di atas, atau paling tidak dengan pembersihan berkala atau program botol. Buku panduan ini akan membantu anda mempelajari perkara utama dalam cara menubuhkan dan mengerakkan chapter yang berjaya.
“Dengan mengubah gaya hidup kita, kita dapat menyumbang kepada kemandirian dan kesejahteraan kita serta planet kita.”
Jeremy Irons, Penerbit Eksekutif “Trashed”
1. Membina pasukan
Pasukan yang baik adalah penting dalam kejayaan chapter anda. Ia harus mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang, dan harus merangkumi seorang ahli yang mempunyai hubungan yang rapat dengan komuniti tempatan. Saiz optimum adalah 5-6 orang.
Pasukan anda tidak semestinya merangkumi orang-orang yang anda sudah kenal: anda boleh mengajak orang sekeliling, atau siarkan di media sosial untuk mencari sesiapa yang berminat untuk membantu.
Cari orang yang mempunyai sikap positif, bersemangat, menghormati budaya tempatan dan (sekiranya boleh) mampu meluangkan beberapa jam setiap minggu untuk jangka masa panjang. Nota: Jika anda bawah umur 18 tahun, anda memerlukan seorang dewasa dalam pasukan anda.
Tiada sesiapa dalam pasukan anda perlu menjadi pakar dalam mana-mana bidang dan pasukan mentor kami akan membantu memperbaiki kemahiran anda.
Pasukan anda akan mencakupi pelbagai tugasan setiap minggu:
Perancangan: Mengatur aktiviti dan program, termasuk menyediakan peralatan untuk aksi pembersihan, dan menguruskan pengangkutan sampah, dan (jika perlu) sukarelawan.
Komunikasi: Jawab emel, mesej dan panggilan; siarkan acara dan kemaskini media sosial; mewakili Trash Hero di khalayak ramai dan media. Sebagai contoh, mengetuai sesi taklimat pada aktiviti pembersihan, atau memberikan temu ramah kepada TV lokal.
Menterjemah: Pastikan semua siaran media sosial, dan sebarang teks yang dibuat oleh chapter anda terdapat dalam bahasa tempatan dan Bahasa Inggeris. Kami boleh menyediakan teks umum (seperti panduan ini) dalam kedua-dua bahasa untuk anda.
Melibatkan komuniti: Maklumkan perniagaan lokal tentang aktiviti anda dan minta sokongan mereka – sebagai contoh, dengan menggantung poster atau menyediakan bahan atau perkhidmatan yang anda perlukan. Hubungi pihak berkuasa tempatan, sekolah serta kumpulan komuniti yang lain mengenai projek anda.
Kongsikan kisah anda: Ambil gambar dan video untuk menunjukkan apa yang anda lakukan. Ia boleh disiarkan di media sosial, dengan teks dalam bahasa tempatan dan Bahasa Inggeris. Jika anda mempunyai kemahiran untuk mereka bentuk / menyunting atau peralatan profesional, itu perkara yang baik – tapi yang penting sekali adalah anda mempunyai bekalan tetap gambar dan video yang positif untuk disiarkan.
Tidak ada cara yang tetap untuk mengendalikan tugasan tersebut. Sesetengah tugasan boleh dilakukan oleh lebih dari satu ahli kumpulan; atau satu ahli kumpulan boleh melakukan beberapa tugasan. Tugasan juga boleh dipecahkan menjadi beberapa tugasan kecil. Perkara ini bergantung kepada saiz pasukan anda, orangnya, dan masa yang ada.
Adalah berguna untuk mempunyai kumpulan sembang dalam talian (cth. WhatsApp, atau Messenger) untuk pasukan anda saling berkongsi hal terkini serta memotivasikan satu sama lain. Adakan perjumpaan berkala diluar aktiviti untuk memastikan semua orang fokus dan gembira.
Tanamkan sikap terbuka untuk menjemput ahli baru untuk menyertai pasukan anda dan berikan tugasan kecil kepada mereka untuk membantu. Sebagai contoh, ahli pasukan baru boleh membantu anda dua jam seminggu untuk menterjemahkan teks untuk siaran Facebook. Pasukan anda boleh berkembang secara organik begini.
Jika anda perlu meninggalkan pasukan anda, berikan notis jauh lebih awal. Lebih baik, jika anda bantu mencari dan melatih orang lain untuk mengambil alih tugas anda.
Kongsikan kejayaan chapter anda dengan pasukan anda – tidak ada orang yang patut mengambil pengiktirafan peribadi, secara tertutup atau umum. Tunjukkan penghargaan untuk ahli masing-masing, raikan bersama dan chapter anda akan berkembang lebih kuat.
“Sesiapa sahaja boleh menjadi Trash Hero!”
Kekuatan kami terletak pada bersikap inklusif dan terbuka kepada semua: kasih sayang yang dikongsi bersama terhadap planet kita dan masa depannya mengatasi sebarang perbezaan diantara kita.
2. Bahan pemasaran
Gambaran Keseluruhan
Jenama “Trash Hero” adalah sesuatu yang tercipta dengan usaha yang sangat keras. Jenama kami terdiri daripada nama kami dan logo kami (mempunyai tanda dagangan di seluruh dunia), juga warna, nilai reka bentuk dan mesej kami. Perkara ini mewakili siapa kita dan apa yang kita perjuangkan. Adalah penting untuk kita melindungi bagaimana ia digunakan dan memastikan ia digunakan secara konsisten di mana-mana sahaja.
Kami mempunyai garis panduan untuk penggunaan logo, warna dan fon kami, serta set templat untuk kegunaan bahan pemasaran utama. Anda boleh meminta akses kepada templat tersebut setelah anda menubuhkan chapter anda.
Jika anda mempunyai idea baru untuk bahan pemasaran, atau memerlukan pertolongan untuk menyesuaikan templat, pasukan reka bentuk kami boleh membantu anda. Ambil maklum bahawa mereka adalah sukarelawan seperti anda, jadi mereka mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan permintaan anda. Jika anda ingin mencipta bahan pemasaran baharu sendiri, semak dengan mereka terlebih dahulu sebelum mencetak atau menerbitkan.
1. Logo chapter
Apabila anda memulakan chapter, kami akan memberikan anda sebuah halaman Facebook, menggunakan logo Trash Hero pada latar belakang putih, dengan nama chapter anda. Warna putih tersebut menunjukkan anda dalam fasa permulaan.
Setelah melengkapkan tempoh percubaan – biasanya dalam 10 pembersihan – anda akan dapat menggunakan logo kuning dan halaman chapter anda akan disenaraikan di laman sesawang kami.
Kedua-dua logo putih dan kuning patut digunakan mengikuti garis panduan jenama kami.
2. Baju-T
Bila anda memulakan chapter anda, jika anda dalam negara di mana Trash Hero sudah ada, kami akan menyediakan sebanyak lima baju untuk pasukan asas anda. Jika anda merupakan chapter Trash Hero pertama di negara anda, anda mungkin perlu menunggu sedikit lama kerana kami tidak ada bekalan baju sedia ada.
Apa itu baju Trash Hero?
Baju Trash Hero adalah simbol utama gerakan kami. Baju tersebut berwarna kuning dan mempunyai perkataan “Saya adalah seorang Trash Hero” dalam Bahasa Inggeris di bahagian hadapan. Baju ini juga mempunyai terjemahan tempatan untuk perkataan tersebut dibawahnya. Belakang baju tersebut berbeza-beza, tapi harus sentiasa ada logo kami, alamat laman sesawang dan pemegang sosial media.
Baju tersebut tidak boleh mempunyai sebarang nama atau logo pihak ketiga kerana kami harus kekal neutral, logo kami juga tidak boleh muncul di baju orang lain.
Untuk mendapatkan reka bentuk baju untuk chapter anda, tolong hubungi pasukan reka bentuk kami.
Mencetak baju
Disarankan untuk anda membuat tempahan baju chapter anda yang pertama setelah anda mendapat logo kuning. Cuba untuk mendapatkan penajaan tempatan untuk menampung pembiayaan ini: ia adalah cara terbaik untuk melibatkan perniagaan lokal dalam aktiviti anda. (lihat: )
Cetak baju anda secara lokal jika boleh, untuk membina hubungan baik dalam kawasan anda. Pencetak harus mempunyai baju berwarna kuning yang sama seperti kami gunakan, menggunakan bahan 100% kapas atau bahan semula jadi lain.
Periksa jumlah tempahan minimum, dan jika boleh, bandingkan harga dengan pencetak lain. Jika anda tidak mampu mencari pencetak tempatan, organisasi negara anda mungkin mempunyai kenalan yang mampu menolong anda.
Harap maklum: dapatkan invois dengan nama chapter anda dan pindahkan pembayaran terus kepada syarikat pencetak. Anda mungkin memerlukan invois dan resit ini untuk ditunjukkan kepada penaja anda, dan apabila anda menjual baju tersebut. Sentiasa pastikan Trash Hero 100% telus.
Trash Hero juga, dalam jangka masa setahun beroperasi secara kukuh, akan menyediakan beberapa baju percuma untuk chapter anda.
Menjual baju
Baju Trash Hero dijual pada harga kos, atau diberi dengan percuma. Harga kos boleh termasuk dengan caj penghataran jika tidak dicetak secara lokal.
Simpan resit dari syarikat percetakan dan perkhidmatan penghantaran dan terbitkannya di laman media sosial untuk menunjukkan bahawa anda tidak membuat sebarang keuntungan.
Duit dari penjualan baju Trash Hero patut disimpan dan digunakan untuk mencetak baju baharu, bukan untuk kegunaan lain. Ini memberikan chapter anda bekalan baju yang berterusan.
Sesetengah chapter mungkin ingin menjual baju melalui pihak ketiga. Sekali lagi, jualkannya dengan harga kos sahaja, dan simpan resit sebagai bukti. Trash Hero tidak menetapkan sebarang harga penjualan untuk pihak ketiga.
3. Bahan-bahan lain
Terdapat pelbagai bahan pemasaran yang anda mungkin dapati berguna untuk chapter anda.
Perkara ini termasuk:
- Poster: untuk mengiklankan pembersihan anda atau program pengisian semula di restoran, kedai atau hotel tempatan dll.
- Sepanduk atau bendera: untuk dibawa ke aktiviti anda dan digunakan dalam gambar
- Pelekat
- Risalah
- Kad perniagaan
Tak semua benda ini wajib ada atau sesuai untuk setiap chapter, bergantung kepada lokasi anda.
Sekali lagi, pasukan reka bentuk boleh membantu anda. Kalau anda ingin membuat reka bentuk sendiri, sila ikuti garis panduan jenama dan hantar kepada pasukan reka bentuk untuk disemak sebelum dicetak.
Cuba cetak secara lokal: sesetengah kedai mungkin berbesar hati untuk memberikan diskaun ataupun pencetakan percuma kepada organisasi seperti Trash Hero (tidak rugi bertanya!). Atau, cari penaja lain untuk menampung kos.
Pertimbangkan bahan yang anda guna: kertas kitar semula dan kain kapas adalah lebih baik dari vinil, poliester atau papan bersalut plastik.
3. Mengadakan program pembersihan
Chapter Trash Hero melakukan pembersihan mingguan. Kegiatan ini membina kesedaran terhadap pencemaran plastik dikalangan masyarakat dan membuahkan perubahan sikap. Pembersihan juga membolehkan kami mengumpul data yang boleh digunakan oleh saintis dan juru kempen untuk mempengaruhi syarikat besar dan kerajaan untuk “menutup pili plastik”.
Di mana kita melakukan pembersihan?
Di sesetengah kawasan, sampah ada di mana-mana. Jika anda berdekatan pantai atau taman awam, ini adalah tempat yang bagus untuk memulai kegiatan pembersihan; jauhi tepi jalan yang sesak dan tempat lain yang mungkin berbahaya untuk sukarelawan anda.
Sesetengah negara sangat bersih dan anda tidak nampak banyak sampah. Sekiranya ini berlaku, pergi berjalan-jalan, tanya penghuni, atau guna aplikasi pemetaan sampah (cth. TrashOut). Puntung rokok dan cebisan plastik kecil juga sama pentingnya untuk dikutip seperti jaring nelayan dan kotak gabus.
Penting: kita membersihkan sampah di kawasan awam. Kita tidak membersihkan sampah di premis persendirian.
Pertimbangan undang-undang
Anda mungkin perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan tempatan atau Taman Negara untuk melakukan pembersihan di kawasan mereka. Walaupun mungkin kebenaran tidak diperlukan, adalah disyorkan untuk menghubungi mereka untuk memperkenalkan chapter anda dan memberitahu mereka apa yang akan anda lakukan.
Tetapkan hari dan masa
Pilih hari dan masa yang sesuai dengan pasukan dan orang-orang di kawasan anda.
Sebagai contoh: setiap Ahad pada jam 4 petang. Jika anda tidak pasti hari atau masa apa yang paling sesuai, tanya pendapat penduduk setempat. Cuaca juga harus dipertimbangkan: di sesetengah negeri cuaca pada waktu tengah hari boleh jadi sangat panas.
Nota: Mengatur pembersihan mingguan boleh menjadi satu cabaran. Jika anda rasa susah, bersabarlah. Mula dengan sekali sekala dan berusaha ke arah membersih setiap minggu. Setelah anda lebih berpengalaman dan pasukan telah berkembang, ia akan jadi lebih mudah.
Tetapkan tempat perjumpaan
Bergantung pada tempat anda, anda mungkin membersihkan tempat yang sama atau lokasi yang berbeza-beza setiap minggu. Terdapat dua strategi yang berbeza untuk setiap aksi tersebut:
“Tempat perjumpaan yang tetap”: strategi ini sangat berguna jika anda berada di pulau kecil, atau jika anda membersihkan kawasan yang sama setiap minggu (cth. sebuah pantai). Ia memudahkankan orang ramai mencari lokasi dan berkesan dengan poster dan iklan yang lain, sebagai contoh: “Sertailah kami setiap Isnin pada 3pm di Pantai Cenang”.
“Rujuk Facebook untuk lokasi”: jika anda mengubah lokasi pembersihan setiap minggu, anda perlu memaklumkan orang ramai melalui media sosial lokasi pembersihan seterusnya. Buat acara di halaman Facebook dan jemput semua orang (lihat: Gunakan media sosial). Poster pembersihan anda akan berkata: “Kami membersihkan Pantai Cenang setiap Isnin pada 3pm. Rujuk Facebook kami untuk lokasi”.
Apapun strategi yang anda pilih, hari dan masa pembersihan harus kekal sama untuk setiap minggu, dan semua tempat perjumpaan haruslah neutral (cth. pantai, tugu, jalan, stesen kereta api), bukan mempromosikan mana-mana perniagaan (cth. Green Hostel, Hippo Bar, Marco’s Pizza)!
Maklumkan orang ramai tentang pembersihan anda
Terdapat banyak cara untuk mendapatkan penyertaan dari orang ramai:
- Buah mulut: bercakap dengan orang!
- Poster: minta pasukan reka bentuk kami untuk membuat sebuah poster, carilah percetakan lokal untuk mencetaknya, pamerkannya di dalam premis perniagaan yang sudi menyokong anda (poster di luar premis biasanya mempunyai jangka hayat pendek)
- Media sosial: siarkan di halaman Facebook chapter anda (dan saluran lain) dan di kumpulan tempatan (lihat: Media Sosial)
- Baju Trash Hero: bahagian belakang baju boleh mempromosikan pembersihan anda (lihat: Bahan pemasaran)
- Jemputan: jemput hotel atau perniagaan lain untuk datang bersama dengan staf mereka
Pastikan semua butiran tentang pembersihan dimasukkan: tarikh, masa dan tempat; dan bahawa orang tahu mereka boleh hadir begitu sahaja. Kami menggunakan slogan: “Tiada kos, tiada pendaftaran, hanya hadir dengan senyuman!”.
Apa yang perlu diatur sebelum pembersihan
Bahan & bekalan
Keperluan:
- Sarung tangan (guna yang boleh dicuci, sarung tangan yang tahan, bukan sarung tangan plastik sekali guna)
- Beg (pilih beg guna semula – cth. beg nasi – bukan beg plastik sekali guna)
- Kit pertolongan cemas
Jika ada, lebih baik:
- Air* dari tangki diguna semula (bukan botol plastik) dan snek bebas sisa (cth. pisang, bukan biskut dibalut secara individu) untuk sukarelawan
- Penimbang (untuk menimbang berat sampah yang dikumpul)
- Peralatan (di sesetengah kawasan, pemungut sampah, pencakar, pisau atau penyodok boleh menjadi berguna)
- Sepanduk atau bendera chapter Trash Hero anda (nampak cantik di gambar)
- Pita kertas dan pen untuk meletakkan tanda di beg sampah apa isi kandungannya (hal ini membantu pusat kitar semula yang akan menguruskan sisa nanti)
*Sama ada anda menyediakan isian semula air atau tidak, sentiasa ingatkan sukarelawan untuk membawa minuman sendiri ke setiap pembersihan – kami tidak mahu para sukarelawan kami haus!
Orang dan perancangan
Untuk beberapa kali pertama, ajaklah sekurang-kurangnya dua ketua pasukan anda hadir. Tugasan mereka meliputi taklimat, mengambil gambar, menimbang sampah dll. Di kemudian hari, sukarelawan biasa boleh membantu anda.
Aturkan pengutipan sampah
Ini boleh jadi pengutipan dari perkhidmatan pengurusan sisa lokal, atau penghantaran ke kilang kitar semula / tempat pembuangan sampah yang dibenarkan. (Lihat: Di manakah sampah pergi?)
Pengangkutan
Secara umum, orang dijangkakan untuk datang sendiri ke lokasi pembersihan tersebut, tetapi jika, sebagai contoh, anda ingin membersihkan kawasan terpencil atau pulau, anda perlu menyediakan pengangkutan untuk sukarelawan pergi dan pulang dari tempat pembersihan.
Bagaimana hendak mengatur bekalan, pengutipan sampah atau pengangkutan
Sebaiknya, kesemua perkara ini boleh dilaksanakan oleh komuniti anda. Jika seluruh komuniti bekerjasama, semua orang berkongsi kredit dari hasil kerja yang hebat.
Terdapat pelbagai cara untuk kerjasama: perniagaan lokal atau perbandaran boleh menyediakan alatan pembersihan; kutipan sampah boleh dilakukan oleh perkhidmatan sampah tempatan; restoran atau hotel boleh memberikan air atau makanan untuk sukarelawan; kedai dobi boleh mencuci sarung tangan percuma dsbg. (Lihat juga: dapatkan penaja)
Ideanya adalah semua orang boleh menjadi sebahagian daripada Trash Hero dan menyumbangkan sesuatu. Ia adalah pengiklanan yang baik untuk semua perniagaan dengan perbelanjaan yang kecil. Kami sentiasa berterima kasih kepada semua penaja secara umum untuk bantuan mereka sewaktu di pembersihan dan di saluran media sosial.
Adalah penting untuk melibatkan sebanyak mungkin perniagaan, dengan penaja yang berbeza setiap minggu. Gunakan kreativiti. Sebagai contoh, kedai urut boleh memberikan anda baucar untuk urutan percuma untuk diberikan sebagai hadiah untuk sukarelawan. Jika ramai penaja berbeza (besar atau kecil) membantu, masyarakat tahu bahawa Trash Hero adalah gerakan yang neutral untuk manfaat semua.
Nota: adalah penting untuk menerima sumbangan hanya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan. Sebagai contoh, jika anda memerlukan sarung tangan, mintalah sarung tangan. Kadang kala perniagaan tersebut akan ingin memberikan anda wang. Dalam kes ini, beli sarung tangan tersebut sendiri dahulu, dan bawa resit tersebut ke penaja dan dapatkan balik duit secukupnya. Memberikan resit kepada penaja anda menjadikan segalanya 100% telus dan meyakinkan semua orang bahawa chapter Trash Hero tidak membuat apa-apa keuntungan melalui sumbangan.
Pada hari tersebut: rancangan pembersihan biasa
Jelaskan perkara berikut kepada pasukan anda sebelum anda bermula – dan perlu disampaikan kepada sukarelawan anda pada hari tersebut.
- Tentukan masa mula dan tamat dengan jelas (biasanya sebuah pembersihan akan berlangsung selama 1-2 jam)
- Tentukan dengan jelas kawasan pembersihan (dari “sini” ke “sana”)
- Tentukan dengan jelas tempat berkumpul terakhir (ke mana untuk membawa beg) dan bila waktu untuk berada di sana untuk gambar terakhir.
- Rancang untuk mengasingkan sampah dari awal, ia lebih efisien daripada mengosongkan beg dan mengisih pada akhir pembersihan.. Pengasingan menjadi senang jika anda menugaskan sukarelawan untuk mengumpul jenis sampah tertentu dan mereka berjalan dalam pasukan (cth. “hero kaca” atau “hero botol PET”). Jika anda mengumpul data, anda boleh menugaskan pasukan “hero audit jenama”.
- Pastikan orang tidak mengisi beg secara berlebihan kerana mereka perlu diikat.
- Ketahui siapa yang akan berada di tempat perjumpaan akhir untuk menimbang beg sampah dan melaporkan angkanya.
- Ketahui siapa yang akan berada di tempat permulaan sekiranya ada yang terlewat hadir.
- Ketahui siapa yang akan mengambil gambar / video sepanjang pembersihan. Tanya sukarelawan terlebih dahulu jika anda boleh mengambil gambar mereka: hal ini penting untuk mendapatkan izin mereka, dan anda juga akan mendapat gambar yang lebih baik apabila mereka berhenti dan menoleh ke arah kamera.
Jadual pembersihan
Berada di lokasi tersebut beberapa minit lebih awal untuk menunggu sukarelawan anda. Ambil beberapa gambar “sebelum”. Pastikan bendera Trash Hero atau baju kuning anda kelihatan. Senyum, sapa semua orang dan tunggu beberapa minit untuk yang lewat hadir.
Buat taklimat: alu-alukan kedatangan semua orang dan berterima kasih kepada mereka kerana datang. Perkenalkan Trash Hero secara ringkas, dan terangkan misi dan organisasinya. Terangkan rancangan untuk hari ini (lihat perkara di atas). Ingatkan orang untuk berseronok, berehat seketika, minum air dan segala cebisan yang dikutip dikira. Jika anda ada baju Trash Hero, sekarang adalah masa yang sesuai untuk menyatakan ia dijual pada harga kos, supaya sukarelawan baharu boleh memakainya sewaktu pembersihan (dan anda mempunyai lebih banyak warna kuning dalam gambar!).
Penghujung pembersihan
- Ambil gambar “selepas” (pada tempat yang sama seperti gambar “sebelum”)
- Kumpulkan semua sukarelawan dan ambil lah foto ceria dengan semua sampah yang dikumpulkan
- Buat penutupan:
– Berterima kasih atas pertolongan mereka
– Berterima kasih kepada semua penaja dan sebut nama mereka
– Bagitahu semua orang berapa banyak sampah dikutip dan ke mana sampah dan data tersebut akan pergi
– Nyatakan projek Trash Hero yang lain yang anda sedang jalankan (cth. botol, beg, kanak-kanak…), dan beri tahu kepada mereka bagaimana untuk melibatkan diri
– Maklumkan sukarelawan bahawa anda akan meyiarkan gambar di media sosial (minta izin mereka) dan minta mereka untuk tandakan diri mereka sendiri dan kongsikan gambar tersebut di profil masing-masing - Kumpulkan alamat emel sukarelawan yang ingin kekal berhubung dengan Trash Hero
- Raikan! (Seronok jika mempunyai makanan dan minuman yang ditaja atau aktiviti menyeronokkan selepas pembersihan)
Selepas pembersihan
Berehatlah! Kemudian, bersedia untuk berkongsikan kejayaan anda di media sosial. Sasarkan untuk melakukan ini pada hari yang sama, atau seterusnya, bergantung kepada masa dan tahap tenaga anda.
Senarai semak siaran:
- Semak semua gambar anda dan pilih yang terbaik (edit sedikit, jika boleh)
- Letakkan bersama gambar “sebelum & selepas”
- Buat sebuah album baru di halaman Facebook chapter anda untuk setiap pembersihan (Gambar > Tambah Album).
- Tulis Judul Album dalam format berikut: Nama Chapter – Nombor pembersihan – Tarikh – No. sukarelawan – Jumlah sampah dikumpul (dalam bahasa inggeris). Contoh: “Trash Hero Langkawi :: Cleanup #321 :: 28.1.2023 :: 19 volunteers :: 15 kg”
- Tulis Penerangan Album dan sertakan:
– tarikh pembersihan
– lokasi pembersihan
– berapa jumlah sukarelawan. Masukkan pasukan anda dan kanak-kanak dalam nombor ini. Kemudian tulis bilangan kanak-kanak berasingan. Sebagai contoh, anda mempunyai 20 orang dewasa dan 5 kanak-kanak menyertai. Anda tulis: “25 sukarelawan, termasuk 5 kanak-kanak.”
– berapa kg sampah yang dikumpul dan berapa banyak yang dihantar untuk dikitar semula (jika ada)
– berterima kasih kepada penaja yang menyokong anda untuk permbersihan ini
– “Kami melakukan ini setiap minggu.” atau “Jumpa anda Ahad depan!”
– alamat laman sesawang www.trashhero.org - Geotag lokasi Album pada tempat pembersihan
- Muat naik gambar dan susun mengikut susunan yang anda suka
- Salin dan tampal Penerangan Album ke dalam setiap gambar. Jika gambar itu dikongsi berasingan, lebih mudah untuk melihat apa kandungan gambar tersebut.
- Tambah sebarang kapsyen yang anda perlukan untuk gambar tertentu di bawah peneranang.
- Tag orang di dalam gambar (jika boleh)
- Buat semakan terakhir, dan kongsikan!
Nota: Anda boleh berkongsi siaran chapter anda, atau swafoto anda pada pembersihan tersebut di profil peribadi anda, tapi jangan gunakan ini sebagai tempat utama untuk menunjukkan kerja anda. Sentiasa gunakan halaman Facebook chapter anda, kerana ia mudah ditemui dan dilihat oleh semua orang.
Adakah anda mempunyai pembersihan yang sangat baik atau sebarang aktiviti istimewa? Hantarkan mesej ke halaman Trash Hero Malaysia dan Trash Hero World supaya kami boleh kongsikannya atau menjadikannya siaran blog!
Anda juga perlu melaporkan data pembersihan anda. Gunakan borang pengumpulan data Trash Hero, dimana anda boleh tambah di telefon bimbit anda atau ditanda di browser anda. Sebuah video tutorial akan menunjukkan cara mengisi borang berkenaan. Sekali sekala cuba kemaskini gambar muka depan Facebook anda dengan gambar kumpulan baru dan jumlah terkini chapter anda (pembersihan, sukarelawan, kanak-kanak, kg sampah dikutip).
Ingat, kami mengira peserta pada hari tersebut. Jika ada sukarelawan atau ahli pasukan yang mengikuti anda setiap masa, mereka dikira sebagai satu orang. Sebagai contoh, satu pasukan empat orang yang melakukan 10 pembersihan akan dikira sebagai “40 sukarelawan” dalam jumlah keseluruhan.
Itu sahaja berkaitan dengan pembersihan. Jika anda mampu melakukan semuanya, anda sangat hebat! Berehat dan raikan dengan kawan-kawan dan semua hero. Ini merupakan perkara yang amat penting. Nikmatilah. Anda telah melakukan hal yang baik untuk dunia.
Setelah anda berehat, tiba masa untuk bergerak sekali lagi. Rancang pembersihan seterusnya, cuci sarung tangan, buatkan acara di halaman Facebook dan jemput semua orang! Lama kelamaan, ia akan menjadi lebih mudah, percayalah.
Nota: Semasa memuat naik di media sosial, penting untuk kongsikan mesej positif dan memberikan inspirasi sahaja. Anda ingin orang untuk memberi komen dengan emoji ibu jari dan hati, bukan dengan muka marah dan tangisan. Kita tidak pernah menyalahkan dan memalukan sesiapa yang membuang sampah (walaupun kita tahu siapa yang melakukannya). Kita adalah Trash Hero, bukan Trash Police. Kita berkongsi mesej orang yang hebat melakukan perkara yang hebat untuk alam sekitar.
KE MANA TUJUNYA SAMPAH?
Ini merupakan soalan lazim yang orang akan tanya pada setiap pembersihan Trash Hero. Jawapannya bergantung pada lokasi dan sistem pelupusan sisa yang terdapat di tempat anda.
Seboleh-bolehnya, kami mengasingkan sampah yang dikutip dan menyerahkan sisa yang boleh dikitar semula kepada syarikat pengurusan sisa profesional untuk dikitar semula. Kertas, kaca dan logam yang bersih penting untuk dikitar semula, kerana mereka adalah bahan “closed loop” (ia boleh dikitar semula selama-lamanya tanpa kehilangan kualiti yang ketara). Pengitaran semula plastik biasanya “open loop” (digunakan untuk membuat produk gred rendah dengan penggunaan semula yang terhad), tapi masih berbaloi dikitar semula sebagai jalan terakhir untuk sampah yang kita jumpa.
Sudah tentu beberapa sampah yang dikumpul masih akan berakhir di tapak pelupusan, atau lebih teruk lagi, dibakar – menunjukkan sampah tidak pernah “hilang” setelah dihasilkan. Ia hanya boleh pergi ke tempat yang “kurang teruk” daripada terus mencemari persekitaran semula jadi.
Oleh itu, matlamatnya adalah sentiasa untuk menghentikan sisa daripada terhasil dari awalnya, mengikut hierarki sisa:
1. KURANGKAN
2. GUNA SEMULA
3. KITAR SEMULA
Program pengisian semula botol Trash Hero adalah antara satu contoh dimana kami cuba untuk mencapai matlamat ini. Program ini telah mengurangkan sisa sebanyak 35 juta botol sekali guna, sementara program beg boleh guna semula telah mengurangkan sisa lebih daripada 9 juta beg plastik.
Chapter Trash Hero juga mencipta projek masing-masing untuk mengurangi sisa plastik. Trash Hero Ao Nang mencipta bahan untuk mengurangkan penggunaan straw plastik. Trash Hero Kertalangu dan Trash Hero Ende bekerja dengan kedai dan restoran di kawasan mereka untuk membantu mereka untuk mula menggunakan beg boleh guna semula dan straw bukan plastik. Trash Hero Trang memulakan skim diskaun “bawa bekas sendiri” untuk makanan dan minuman di bandar masing-masing.
ADAKAH ANDA TAHU? Walaupun plastik PET boleh dikitar semula, kurang daripada 7% botol PET di seluruh dunia mengandungi sebarang bahan kitar semula. Hal ini demikian kerana botol PET biasanya dikitar semula menjadi fabrik, digunakan untuk membuat pakaian, karpet dan pembungkusan. Fabrik ini mencemari air kita setiap kali kita mencucinya, dan tidak mudah untuk dikitar semula, jadi ia akhirnya akan berakhir di tapak pelupusan atau persekitaran dan lautan. Beberapa botol PET yang dibuat menjadi bekas baharu hanya boleh meneruskan kitaran ini sebanyak empat kali, sebelum kualitinya merosot dan ia juga berakhir di tapak pelupusan.
Ke mana ia seharusnya pergi? Tapak pelupusan lwn. Pembakaran
Untuk sisa yang ada, Trash Hero mengesyorkan kaedah yang “paling kurang teruk” yang terdapat di kawasan tempatan. Hal ini bermaksud kaedah yang mempunyai kesan yang paling sedikit terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. Di kebanyakan tempat itu bermakna pengasingan sisa yang betul, diikuti dengan pengkomposan, kitar semula jika boleh dan akhirnya tapak pelupusan.
Terdapat banyak jenis tempat yang berbeza untuk membuang sampah dan tiada yang ideal. Walaubagaimanapun kami akan sentiasa menggesa pihak berkuasa untuk menambah baik kemudahan ini jika perlu daripada memilih untuk membakar.
Membakar plastik dalam apa jua bentuk akan sentiasa menghasilkan pelepasan toksik dan membazirkan sumber yang boleh diperolehi semula, jadi kami tidak pernah menerima ini sebagai solusi. Seksyen “Benar atau Palsu” mempunyai lebih banyak butiran. Ringkasnya, tiada penyelesaian yang sempurna untuk sisa sedia ada: ini menjadikannya lebih penting untuk menguranginya untuk bergerak ke hadapan.
Benar atau Palsu?
Plastik dikenalpasti sebagai masalah alam sekitar global. Sebagai Trash Hero anda akan menemui banyak idea berbeza tentang cara “menyelesaikannya”. Tetapi apakah yang benar-benar membantu dan apakah penyelesaian palsu?
Teknologi dan produk baru diumumkan setiap bulan sebagai “penyelesaian” untuk krisis plastik. Ia boleh mengelirukan, terutamanya dengan gembar-gembur pemasaran yang sering mengelilinginya.
Tanaman plastik! Bakteria pemakan plastik! Kitar semula bahan kimia! Plastik sebagai bahan api! Agak sukar untuk menyenaraikan semuanya, tetapi ini merupakan antara yang paling kerap dilihat.
Kami menilai mana-mana “penyelesaian” ini dengan bertanya satu soalan mudah: adakah ia mengurangkan sisa?
Dalam kata lain, adakah produk atau proses tersebut mengakibatkan kita akan tetap membuang barang, atau adakah ia menyebabkan kita menggunakan kurang barang dan melindungi sumber Bumi dalam jangka masa panjang?
Kami percaya bahawa penyelesaian sebenar kepada masalah plastik ialah penyelesaian yang mencipta cara yang berbeza untuk membuat, menghantar dan menggunakan sesuatu supaya tiada sebarang jenis sisa terhasil.
Program isi semula botol Trash Hero ialah satu contoh penyelesaian yang benar. Terdapat banyak lagi cara lain, tetapi kita memerlukan lebih banyak lagi penyelesaian dan pada skala global.
Penyelesaian yang palsu tidak akan mengurangkan sisa. Sebaliknya, ia menawarkan cara pelupusan alternatif atau bahan lain untuk dibuang. Ia biasanya penyelesaian sementara.
Mari kita lihat beberapa idea dinyatakan di atas dan ketahui sama ada mereka adalah penyelesaian benar atau palsu.
PEMBAKARAN
Terdapat pelbagai jenis mesin yang membakar plastik atau sisa bercampur dan mencipta tenaga atau bahan api yang boleh digunakan untuk pemanasan atau pengangkutan. Sering dilihat sebagai penyelesaian baik untuk sisa plastik, terutamanya untuk kawasan yang tiada tapak pelupusan.Malah, dikatakan ia lebih baik dari tapak pelupusan kerana kita boleh “memulihkan” tenaga yang terkandung dalam bahan tersebut.
Tetapi apakah kesannya? Banyak kajian telah menunjukkan bahawa sisa pembakaran, walaupun tanpa oksigen (kaedah dikenali sebagai “pirolisis”), tidak bersih dan tidak selamat untuk kesihatan manusia. Pembakaran plastik menghasilkan bahan kimia yang sangat toksik yang telah terbukti menyebabkan kanser, penyakit paru-paru, masalah pembiakan dan lain-lain.
Malah mesin yang paling canggih (biasanya terdapat di negara berpendapatan tinggi) tidak mampu menapis semua dioksin dan nanozarah logam berat yang dikeluarkan melalui pembakaran. Jadi toksin terlepas ke udara dan tanah bandar dan kampung sekeliling. Sehingga 20% sisa yang dibakar ditinggal sebagai abu toksik pekat yang harus dibuang ke suatu tempat. Bahagian alam mana yang akan anda pilih?
Ketepikan sebentar masalah kesihatan, pembakaran – atau plastik-kepada-bahan api, sisa-kepada-tenaga atau apa-apa saja kita panggilnya – ia tidak mengurangkan sisa.
Telah terbukti bahawa sisa sering bertambah apabila sebuah bandar mula menggunakan insinerator. Mesin tersebut harus beroperasi 24/7 jadi ia perlu disuap dengan plastik setiap masa. Maka tiada insentif untuk melarang penggunaan plastik sekali guna. Sisa tidak perlu diasingkan lagi kerana semuanya boleh masuk ke dalam mesin. Kadar kitar semula menurun, bermakna sumber yang boleh digunakan semula dibakar dan hilang selama-lamanya.
Pembakaran juga menyumbang kepada perubahan iklim dan melemahkan usaha untuk bergerak ke tenaga lestari dari matahari, angin dan air.
Keputusan: penyelesaian PALSU
PLASTIK BIO (PLA)
Terdapat pelbagai jenis “plastik berasaskan tumbuhan”, yang kedengarannya sangat semula jadi dan mesra Bumi dan sering dipromosikan sebagai “alternatif kepada plastik”. Mereka menggunakan bahan organik seperti jagung atau ubi kayu dan bukannya bahan api fosil sebagai bahan asas, walaupun apabila dihasilkan mereka berfungsi dengan cara yang sama seperti plastik berasaskan bahan api fosil. Hanya beberapa jenis, seperti PLA biasa (asid polilaktik), yang “boleh terbiodegradasi” dan “boleh kompos” pada akhir hayat mereka.
Jika kita melihat lebih dekat pada label “kompos” PLA, kita boleh melihat bahawa pengkomposan bahan hanya boleh dilakukan di kemudahan perindustrian, di mana sisa dipanaskan hingga 60C. Di sini, plastik biasanya terurai kepada karbon dioksida dan air, tidak memberikan sebarang nilai pemakanan tambahan kepada kompos. Selain itu, plastik berasaskan bio mengandungi bahan kimia yang sama yang digunakan untuk membuat plastik tradisional – tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada bahan tersebut apabila plastik itu terurai. Dalam kajian baru-baru ini, PLA didapati mengandungi paras toksin yang sama seperti PVC yang sangat berbahaya.
Jika tiada pengkomposan industri tersedia, PLA dan plastik terbiodegradasi lain mesti diletakkan di dalam sisa am untuk dibuang atau dibakar. Jika diletakkan ke dalam kitar semula, mereka akan mencemarkan plastik lain dan menjadikannya tidak boleh digunakan.
Tetapi adakah plastik berasaskan bio mengurangkan sisa? Sekali lagi, jawapannya adalah tidak. Bioplastik digunakan terutamanya untuk pembungkusan pakai buang seperti straw dan bekas makanan bawa pulang dan tidak mempunyai sumbangan berguna selepas ia dibuang. Mereka hanya menggantikan satu bahan sekali guna dengan yang lain.
Keputusan: penyelesaian PALSU
KITAR SEMULA BAHAN KIMIA
Kebanyakan syarikat yang menghasilkan makanan atau produk isi rumah menyatakan lebih banyak atau “lebih baik” kitar semula adalah jawapan untuk sisa pembungkusan. Dengan cara ini, mereka tidak perlu buat apa-apa! Mereka boleh terus menghasilkan berbillion barang plastik sekali guna setiap hari dan terpulang kepada individu dan sistem pengurusan sisa untuk menanganinya.
Walaupun ia boleh dicapai, ia bukan penyelesaian jangka masa panjang. Kuantiti dan kualiti bahan hilang setiap kali plastik dikitar semula. Dan selepas beberapa kitaran, plastik mencapai penghujung hayatnya.
Kitar semula bahan kimia. Ini merupakan teknologi baharu yang dipanggil “pempolimeran semula”, di mana plastik diurai kepada molekul asalnya dan boleh digunakan berulang kali untuk membuat produk plastik baharu “tidak terhingga”. Kaedah ini juga dipanggil “plastik-ke-plastik.”
Walaupun ini boleh menjadi penyelesaian yang berpotensi, kaedah ini sangat mahal untuk dilaksanakan. Terlalu mahal sehingga tidak mampu bersaing dengan harga pengeluaran plastik baharu daripada minyak atau gas. Ia juga menggunakan lebih banyak tenaga untuk proses tersebut dan muncul lagi persoalan pengeluaran toksik dan bahan buangan daripada plastik asli.
Kesatuan Eropah telah berkata bahawa teknologi pempolimeran semula adalah sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk berdaya maju secara komersial – dan dalam pada itu pengeluaran plastik baharu terus berkembang.
Adakah kaedah ini mengurangkan sisa? Sekarang, tidak. Mengikut teori ia boleh memanjangkan hayat plastik sedia ada. Tetapi realitinya – dalam senario terbaik – ia boleh membantu dengan peratusan kecil plastik itu dalam masa 10 tahun. Ini membuatkannya jauh kurang efektif daripada mengurangkan pada sumber.
Keputusan: penyelesaian PALSU
Nota: Kadang-kala istilah “kitar semula bahan kimia” digunakan untuk plastik-ke-bahan api atau proses lain dimana produk akhirnya dibakar (lihat “Pembakaran”). Kaedah ini adalah “kimia” tetapi tentunya BUKAN “kitar semula”!
SISA SIFAR
Istilah “sisa sifar” merangkumi beberapa kaedah yang direka untuk melindungi sumber terhad dan, akhirnya, tidak membuang apa-apa. Ia melibatkan perubahan keseluruhan sistem, bermula dengan pengeluar.
Produk direka bentuk yang membolehkan orang ramai menggunakan semula dan mengisi semula dan membaiki atau menggantikan bahagian yang rosak. Bahan yang digunakan boleh dikitar semula dengan mudah dan berterusan.
Pihak berkuasa boleh memperkenalkan sistem pengasingan sisa. Makanan dikompos; bahan lain dibersihkan, kemudian digunakan semula atau dikitar semula secara tempatan. Sebagai rakyat, kita boleh menyokong langkah-langkah ini dan membantu menjadikannya langkah yang berkesan. Sebilangan kecil sisa boleh dimasukkan ke dalam tapak pelupusan yang selamat.
Adakah ia mengurangkan sisa? YA! Sisa sifar mungkin kelihatan tidak boleh dicapai tetapi ingat: plastik tidak wujud secara meluas 60 tahun yang lalu dan kita boleh kembali kepada cara hidup itu tetapi dengan teknologi dan bahan yang lebih baik. Menukar sistem boleh dilakukan dengan momentum yang betul dan sebagai Trash Hero kami berusaha untuk menjayakannya.
Keputusan: penyelesaian BENAR
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mana-mana topik ini, lihat perpustakaan sumber kami di trashhero.org/library!
4. Sediakan program botol isi semula
Penjelasan program
Matlamat program isi semula botol adalah untuk menawarkan alternatif yang berpatutan, praktikal dan boleh diguna semula berbanding botol air plastik sekali guna, dan untuk mengurangkan bilangan botol plastik daripada mencemari alam sekitar.
Program ini menyediakan botol air keluli tahan karat yang di jual pada harga kos kepada peniaga tempatan, untuk dijual kembali kepada pelanggan mereka dengan sedikit keuntungan. Keuntungan ini akan digunakan untuk menyediakan air minuman percuma kepada pelanggan yang memiliki botol minuman Trash Hero, tanpa mengira di mana mereka membeli botol tersebut.
Program ini bergantung kepada sokongan komuniti setempat. Rakan kongsi kami boleh terdiri daripada hotel, kafe, kedai, bar, pusat menyelam, atau tempat bukan komersial seperti pusat komuniti. Makin banyak tempat yang menyertainya, semakin luas rangkaian isian semula.
Untuk menyertai program ini, rakan kongsi hendaklah membuat tiga komitmen berikut:
- menentukan harga jualan tetap untuk semua pelanggan (contohnya, di Malaysia harga sebotol ialah RM30)
- menyediakan tempat mengisi semula air untuk sesiapa yang mempunyai botol Trash Hero. Tempat mengisi semula hendaklah mudah dilihat dan diakses oleh pelanggan
- meletakkan poster yang telah direka oleh Trash Hero untuk program ini
Mengenai Botol Trash Hero
Botol Trash Hero diperbuat daripada keluli tahan karat gred makanan 304. Dinding botol hanya dibuat selapis (tanpa penebat) dan boleh menampung sebanyak 750 ml air.
Ia kini, dikilangkan di China, sementara kami berusaha mencari pengeluar tempatan. Trash Hero mempunyai sijil kualiti dan komposisi bahan bagi botol yang tersedia untuk ditunjukkan kepada rakan kongsi dan pelanggan mereka.
Semua botol mempunyai logo Trash Hero di bahagian hadapan bersama dengan tulisan ‘Love’ dan nama negara (Contohnya ‘Love Malaysia’) atau ‘Love’ dan nama tempat (Contohnya ‘Love Cherating’).
Logo syarikat atau lain-lain penaja boleh diukir dibahagian belakang botol – untuk tempahan khas ini anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya di bawah.
Memulakan Program Botol
Jika anda ingin memulakan program botol, langkah pertama adalah menghubungi salah satu chapter Trash Hero di negara anda yang telah menjalankan program ini. Mereka boleh berkongsi pengalaman dan membantu anda mendapatkan contoh botol. Tetapi jika anda adalah chapter pertama di negara anda yang memulakan program ini, sila hubungi pasukan mentor anda.
Mencari rakan kongsi
Seterusnya, sudah tiba masanya untuk membina rangkaian isi semula. Cara paling mudah untuk bermula adalah dengan mengunjungi tempat yang sering anda kunjungi, atau yang anda berkawan. Jika pasukan anda tidak mempunyai sebarang hubungan dengan rakan kongsi yang berpotensi, tanya rangkaian sosial anda, atau dekati tempat yang mempunyai nilai yang sejajar dengan Trash Hero, contohnya kedai yang menjual produk alam sekitar, resort eko, kafe hijau, atau sekolah yoga.
Terangkan objektif program dan pastikan mereka memahami bahawa Trash Hero bukanlah suatu perniagaan dan tiada keuntungan untuk chapter anda mahupun anda secara peribadi. Bersabar dan jangan cuba menekan.
Kami mempunyai bahan untuk memperkenalkan program botol yang boleh dimuat turun di sini. Perkara utama yang perlu diterangkan untuk program ini adalah:
- Mudah untuk dimulakan: tiada had minimum untuk memulakan program botol.
- Bagus untuk jualan: meskipun mereka tidak membuat keuntungan yang besar dari penjualan botol, banyak tempat melaporkan terdapat peningkatan dalam penjualan kerana pelanggan yang datang mengisi semula air turut membeli barangan lain. Tiada sebarang kerugian pernah dilaporkan oleh rakan kongsi program ini.
- Beretika: program ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar, tetapi ia juga baik untuk masyarakat. Ia adalah cara mudah untuk menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang isu alam sekitar.
- Iklan percuma: Semua rakan kongsi akan diberi penghargaan dalam Facebook chapter tempatan, dipautkan kepada laman Trash Hero, dan disenaraikan di peta rangkaian isi semula global kami, yang boleh didapati secara umum dalam talian. Rakan kongsi juga boleh meletakkan pelekat perniagaan mereka pada botol yang mereka jual, atau juga mempunyai logo yang diukir di belakang (pesanan minimum diperlukan untuk ini).
- Pemasaran sosial percuma: semakin ramai pelanggan menghargai urus niaga yang mengamalkan kebaikan untuk alam sekitar. Ramai yang akan lebih suka membeli-belah atau makan di tempat yang mempunyai program tersebut, dan juga akan menyebarkan kepada rakan-rakan atau dalam talian.
Pesanan pertama anda
Kebiasaannya botol dibungkus dalam 50 botol per kotak. Pesanan minimum adalah 1 kotak dan pesanan seterusnya boleh dipelbagaikan, misalnya 3 kotak, 10 kotak, 25 kotak. Semua pesanan adalah secara pra-bayaran.
Stok botol diurus oleh pasukan Trash Hero Malaysia. Sila hubungi mereka untuk mendapatkan bilangan stok botol sedia ada untuk membuat pesanan.
Semua botol ini mempunyai ukiran “Love Malaysia.” Jika anda ingin mengukir tanda “Love [nama lokasi]” di bahagian hadapan dan/atau logo rakan kongsi di sebelah belakang botol, ini adalah untuk pesanan khas dengan pembelian yang minimum. Misalnya di Malaysia, pesanan minimum adalah sebanyak 500 unit / 10 kotak. Oleh itu, anda memerlukan secukupnya pra-pesanan untuk menampung jumlah ini.
Sekiranya anda menerima botol yang mempunyai kecacatan, sila ambil gambar dan hubungi pembekal anda.
Penyimpanan dan pengedaran
Tetapkan seorang dalam pasukan anda untuk bertanggungjawab menyemak dan menjejaki stok botol untuk chapter anda, dan menjadi orang yang boleh dihubungi untuk pesanan baharu.
Ada baiknya jika dapat dimulakan dengan jumlah yang kecil atau seorang daripada pasukan dapat menyimpan stok botol lebihan di rumah.
Bagi pesanan yang banyak adalah praktikal untuk mencari mereka yang boleh menawarkan ruang untuk menyimpan dengan percuma. Tempat menyimpan hendaklah kering dan jauh dari air masin berdekatan pantai, dan juga merupakan seseorang yang boleh dipercayai. Mereka yang menawarkan untuk membantu, akan diberi penghargaan dalam Facebook anda sebagai rakan isi semula (lihat di bawah).
Anda hanya menghantar botol kepada rakan kongsi apabila tempat isian semula mereka telah tersedia dan tanda/sepanduk sudah ada atau sedia untuk dipamerkan. Penjagaan botol juga hendaklah dijelaskan. Jika perniagaan terletak berdekatan dengan pantai, hanya pamerkan satu botol sahaja, yang lain-lain hendaklah disimpan di dalam kotak bagi melindunginya daripada air masin.
Pelanggan perlu diingatkan supaya :
- Mencuci botol dengan tangan (tidak selamat digunakan dalam mesin basuh pinggan)
- Bilas dengan air bersih sebaik sahaja digunakan dekat pantai atau laut
- Hanya diisi dengan air sejuk (tidak sesuai untuk air panas) untuk jangka hayat yang lebih panjang
Ini bagi memastikan botol mereka akan bertahan seumur hidup.
Mempromosi dan melebarkan jaringan
Bahan cetakan
Trash Hero akan menyediakan tiga poster untuk rakan kongsi.
Dua daripadanya adalah umum: pertama, untuk dipaparkan di luar stesen pengisian semula; dan kedua, mengandungi maklumat tentang program ini. Poster ketiga khas untuk diletak dalam bilik hotel yang menawarkan untuk mengganti dengan air dalam botol plastik. Fail untuk semua bahan promosi boleh dihantar secara digital kepada anda. Sentiasa simpan invois dan ambil gambar di pusat isian semula supaya Trash Hero boleh membayar balik kos anda.
Media sosial
Sediakan satu post di Facebook anda untuk meraikan rakan kongsi baharu dengan gambar botol disebelahnya, atau gambar pelanggan yang ceria. Gambar-gambar ini hendaklah diletak dalam “Album” yang berasingan, yang memaparkan semua stesen isian semula tempatan. Tag setiap perniagaan dan ‘check in’.
Kembangkan jaringan isi semula anda dengan menyiarkan maklumat mengenai program botol dan idea di sebalik program ini di Facebook tempatan serta dalam kemaskini Facebook chapter anda sendiri.
Bersemuka
Jika anda sedang menjalankan program pembersihan, perkenalkan juga botol Trash Hero dalam taklimat anda, atau tunjukkan bahawa anda juga sedang menggunakan botol tersebut. Anda juga mungkin boleh mengadakan mesyuarat tidak formal dengan rakan kongsi yang berpotensi dan mempelawa beberapa rakan kongsi sedia ada yang boleh menerangkan mengenai program ini.
Penjualan botol melalui chapter
Jika seseorang menghubungi anda, meminta untuk membeli botol, rujuk mereka kepada rakan kongsi isian semula. Jangan menjual botol itu sendiri atau melalui chapter, melainkan sedang berada di acara khas, (cth: persidangan atau festival) di mana anda mewakili Trash Hero dan juga menyediakan isian semula percuma. Dalam kes begini, anda boleh menjual botol pada harga kos: air untuk isian semula kebiasaannya akan disediakan oleh penaja.
Peta rangkaian isian semula
Semua rakan kongsi akan diberi penyenaraian percuma pada peta pengisian semula trashhero.org/refill: Untuk menambah rakan kongsi baharu, ikut pautan pada halaman peta. Mereka boleh menambah sendiri, atau anda boleh melakukannya untuk mereka. Perniagaan ini akan mendapat penanda kuning pada peta.
Untuk perniagaan yang tidak menjual botol Trash Hero tetapi menawarkan isian semula percuma boleh menyertai program dan dipamerkan di dalam peta dengan penanda berwarna biru. Dengan cara ini, mereka boleh mempromosikan perniagaan mesra alam mereka dan kami dapat mengembangkan rangkaian bagi pemilik botol untuk mengisi semula botol mereka.
Perniagaan ini boleh mendaftar sendiri melalui borang laman web dan perlu memberikan foto stesen isian semula mereka sebelum menyertai program. Sudah tentu, menjual botol dan menyediakan isian semula adalah lebih baik.
5. Sediakan program beg boleh guna semula
Program beg boleh guna semula adalah serupa dengan program botol. Ia mempunyai matlamat yang sama, untuk mengurangkan plastik sekali guna, dan strategi yang sama, menyediakan produk pada harga kos kepada komuniti perniagaan lokal supaya mereka boleh menjual untuk keuntungan kecil.
Mengenai beg Trash Hero
Beg beli-belah yang boleh diguna semula Trash Hero berwarna kuning, dengan perkataan “I’m a Trash Hero logo” di bahagian hadapan. Ia buatan tangan dari Indonesia diperbuat daripada bahan plastik kitar semula [rPET] – bersamaan dengan 2 botol air 500ml. Ia berukuran 35cm x 40cm, dan boleh dilipat ke dalam kantung, dalam dua reka bentuk – polos berlogo atau penyu comel. Kedua-duanya disertakan dengan klip logam.
Mengenai program beg Trash Hero
Beg disediakan pada harga kos kepada rakan kongsi kami, yang boleh menjualnya dengan keuntungan kecil, atau memberikannya secara percuma kepada pelanggan sebagai ganti beg plastik. Sesetengah hotel meletakkannya pada kunci bilik, supaya tetamu mereka sentiasa mempunyai beg yang boleh diguna semula semasa penginapan mereka. Ia juga sesuai digunakan bersama dengan botol: ia boleh digantung pada penutup botol dan dijual sebagai “pakej eko” untuk mengurangkan sisa.
Bagaimana untuk memesan
Pada peringkat permulaan, hubungi pasukan mentor anda: negara anda mungkin mempunyai beberapa beg dalam stok. Sekiranya pesanan baru diperlukan, biasanya terdapat jumlah minimum yang diperlukan, yang mana mereka boleh beritahu anda. Anda mungkin boleh membahagikan pesanan baru dengan chapter terdekat, atau mendapatkan penaja. Bagi perniagaan yang membuat pesanan besar, logo mereka boleh dicetak di bahagian belakang beg. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi bag@trashhero.org
6. Libatkan kanak-kanak
Anak – anak, kaum muda, dan keluarga mereka adalah perkara penting dalam gerakan kami. Kami telah mencipta bahan pendidikan am, serta program kanak-kanak berstruktur yang boleh digunakan oleh chapter untuk melibatkan kanak-kanak.
Menjaga keselamatan kanak-kanak
Adalah sangat penting untuk memastikan bahawa kanak-kanak mengambil bahagian dalam aktiviti kami dengan cara yang sihat dan selamat. Anda dan pasukan anda mesti membaca dan bersetuju untuk mengikuti kod tingkah laku Trash Hero yang termasuk dalam dasar perlindungan kanak-kanak kami.
Bahan pendidikan
Kami mempunyai bahagian khusus di laman web kami untuk kanak-kanak. Ini ditujukan kepada kanak-kanak berumur 8 – 10 tahun, tetapi juga sesuai untuk kanak-kanak yang lebih muda dengan bantuan membaca. Anda akan menemui maklumat, video dan kuiz untuk melibatkan kanak-kanak mengenai isu, foto dan kerja dari kanak-kanak Trash Hero lain di seluruh dunia untuk memberi inspirasi kepada mereka. Sekiranya anda mempunyai cerita atau foto yang baik dari chapter anda sendiri untuk ditambahkan di sini, sila beritahu kami di kids@trashhero.org.
Poster maklumat dalam pelbagai bahasa juga tersedia untuk dimuat turun dan dicetak.
Program Trash Hero Kids
Kami memulakan “Trash Hero Kids” pada tahun 2018, setelah melihat betapa kanak-kanak suka mengambil bahagian dalam pembersihan kami dan menjadi wira untuk hari itu. Ia adalah program jangka panjang berstruktur untuk membantu kanak-kanak berumur 5 – 10 tahun memahami masalah sisa dan mengamalkan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian mereka. Seperti biasa dengan Trash Hero, proses pembelajaran direka untuk menjadi mudah, positif dan praktikal.
Program ini melibatkan inspirasi dari sebuah buku cerita yang tersedia dalam berbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Jerman, Czech, Thai, Indonesia, Burma dan Malaysia.
Buku ini berkisar tentang seorang kanak-kanak yang dipanggil Trash Hero, yang memperkenalkan isu-isu sisa dan pencemaran plastik dengan cara yang mudah dan boleh dihubung kaitkan dengan kehidupan seharian. Ia meneroka bagaimana tingkah laku harian kita memberi kesan terhadap alam sekitar dan menunjukkan bagaimana setiap kanak-kanak mempunyai kuasa untuk mengubah dunia.
Dalam cerita itu, terdapat fakta dan maklumat tentang lautan plastik dan apa yang berlaku kepada sisa kita. Ini boleh menjadi asas perbincangan mengenai pelbagai aspek pencemaran dan “3 Rs” (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula).
Akhir sekali, buku ini mencabar kanak-kanak untuk bertindak dan menjadi Trash Hero sendiri. Terdapat tujuh tugasan yang ditetapkan yang boleh dilakukan berulang kali untuk mewujudkan tabiat positif. Setiap kali mereka menyelesaikan tugasan, kanak-kanak merekodkan kejayaan mereka dan mengumpul mata untuk memenangi ganjaran seperti t-shirt Trash Hero dan sijil.
Program kanak-kanak boleh dijalankan dalam dua cara: dalam chapter anda dengan anak-anak yang kerap menghadiri pembersihan anda; atau kerjasama dengan sekolah atau kumpulan komuniti di mana guru dapat meluangkan sekurang-kurangnya satu jam seminggu untuk topik tersebut. Ia tidak direka untuk program sekali sahaja*.
Kami mempunyai garis panduan untuk guru dalam bahasa tempatan. Selalunya akan ada mentor di negara anda yang boleh memberikan sokongan tambahan. Jika anda mempunyai masa, anda harus cuba membentangkan sekurang-kurangnya satu sesi di sekolah tersebut. Atau, anda boleh lakukannya di pembersihan anda, yang merupakan salah satu tugas yang perlu mereka selesaikan dalam buku ini.
Program kanak-kanak adalah salah satu aktiviti yang paling bermanfaat yang boleh anda lakukan sebagai sukarelawan tetapi ia juga akan mengambil masa anda untuk mengatur dan menyelia. Anda perlu melakukan beberapa pelaporan tambahan, kerana Trash Hero menyediakan semua bahan yang diperlukan – buku, t-shirt dan sijil – secara percuma. Pastikan anda boleh memberi komitmen sebelum memulakan program ini bagi mengelakkan kanak-kanak kecewa!
Chapter yang mempunyai logo kuning boleh memohon untuk menjalankan program ini; sila hubungi koordinator negara anda atau kids@trashhero.org untuk maklumat lanjut.
*Untuk acara dan pembentangan sekali sahaja yang melibatkan kanak-kanak, kami mempunyai buku versi PDF di laman web kami. Sebilangan besar cabaran dapat disesuaikan dan beberapa chapter berjaya membuat anak-anak melakukan versi cerita yang dipentaskan sebagai sebahagian daripada aktiviti.
7. Melibatkan komuniti yang lebih luas
Masalah sampah hanya boleh diselesaikan dalam jangka panjang jika anda melibatkan komuniti anda dan memberi inspirasi kepada perubahan tingkah laku. Masyarakat harus merasakan mereka adalah sebahagian daripada Trash Hero dan melihat misi kita sebagai misi mereka sendiri. Berikut adalah beberapa idea untuk mencapai matlamat ini:
Bekerjasama dengan komuniti perniagaan lokal
Selalunya terdapat acara hotel atau persatuan perdagangan di mana anda boleh melakukan pembentangan dan menunjukkan kepada syarikat bagaimana untuk mengambil tindakan. Tanya sama ada mereka akan memberi informasi kepada ahli mereka untuk memperkenalkan Trash Hero dan jemput mereka untuk menghantar kakitangan ke pembersihan atau menyediakan perkhidmatan untuk anda.
Hotel atau syarikat yang lebih besar boleh didekati secara langsung: mereka sering mempunyai komitmen CSR untuk dipenuhi dan selalunya berterima kasih atas peluang untuk menyertai anda.
Galakkan perniagaan untuk memimpin dengan teladan dan raikan mereka sebagai juara tempatan di media sosial. Sebagai contoh jika restoran berhenti menggunakan penyedut minuman plastik, atau memberi pelanggan diskaun kerana membawa cawan mereka sendiri untuk minuman bawa pulang, siarkannya di media sosial supaya perniagaan lain terinspirasi untuk mencontohi mereka.
Buat kumpulan sembang tertutup (WhatsApp, Messenger, atau apa sahaja yang sesuai di lokasi anda) dengan semua pemilik perniagaan yang berminat dan penaja projek anda. Maklumkan kepada mereka dengan kerap tentang aktiviti anda. Ini juga merupakan platform anda untuk meminta sokongan.
Memimpin dan mengatur mesyuarat atau bengkel anda sendiri di tempat yang neutral di mana semua orang dalam komuniti dijemput untuk menyertai dan membincangkan “bagaimana untuk menjadikan rumah kita lebih bersih”. Jangan kecualikan sesiapa, kekal bebas dan berkecuali dari segi politik dan jangan dikaitkan dengan mana-mana perniagaan atau kumpulan perniagaan. Penting untuk membina rangkaian penaja dan penyokong yang besar dan luas.
Sesetengah perniagaan mungkin ingin menaja lebih banyak daripada yang anda perlukan untuk aktiviti anda. Jadi kreatif dan cari cara untuk menerima bantuan. Resort boleh memesan 100 t-shirt Trash Hero untuk anda berikan secara percuma, atau spa boleh menawarkan satu urutan percuma setiap minggu untuk sukarelawan yang menyertai pembersihan Trash Hero (mengadakan cabutan bertuah untuk mencari pemenang). Selagimana tidak ada wang yang terlibat, tiada masalah.
“Membina rangkaian penyokong yang besar dan luas”
Bekerja dengan kumpulan persekitaran lain
Bekerjasama dengan organisasi bukan berkeuntungan lain atau projek alam sekitar di kawasan anda atau di seluruh dunia. Kami tidak bersaing dengan sesiapa: hanya dengan bekerjasama, kita boleh membuat perbezaan.
Sebagai contoh:
– Lakukan audit jenama di pembersihan anda dan berikan data untuk organisasi seperti Break Free From Plastic.
– Mengadakan acara bersama, atau sekurang-kurangnya menyelaraskan aktiviti anda supaya anda tidak membersihkan pada hari yang sama atau tempat yang sama setiap kali.
Bekerja dengan agensi kerajaan
Perkenalkan chapter Trash Hero anda kepada agensi yang berbeza dan jemput mereka untuk menyertai aktiviti anda. Pastikan mereka memahami bahawa Trash Hero tidak akan menerbitkan sebarang berita buruk, atau menuding jari kepada sesiapa pun. Kami juga tidak menunjukkan kawasan setempat secara buruk: kami menunjukkan orang ramai membersih bersama dan melakukan perkara yang baik. Kami hanya di sini untuk membantu. Jangan sekali-kali terlibat secara langsung dalam politik tempatan.
Sekiranya anda mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan tempatan anda, anda boleh cuba menambah baik kutipan sampah sedia ada dengan membawa orang yang tepat dalam komuniti bersama-sama untuk berbincang dan melaksanakan penyelesaian, misalnya dengan menyediakan lebih banyak tong sampah awam.
Perniagaan boleh menaja tong sampah dan membayar kakitangan untuk mengosongkannya, sebagai balasan untuk beberapa pengiklanan di tong sampah. Atau, anda boleh mendapatkan artis atau sekolah tempatan untuk melukis atau mereka bentuk tong sampah dan kerajaan mungkin bersetuju untuk mengosongkannya.
Yang paling penting ialah keseluruhan proses itu telus dan jika wang terlibat maka semuanya perlu disiarkan di media sosial dan dikongsi dengan masyarakat untuk membuktikan bahawa Trash Hero tidak mengaut keuntungan. Ingatlah untuk membentangkan idea anda dengan cara yang positif dan tidak menunjukkan kemarahan atau menyalahkan sesiapa sahaja jika mereka tidak dilaksanakan. Bekerja dengan kerajaan mengambil masa; ini adalah perkara biasa.
Libatkan diri dalam festival tempatan: nasihatkan penganjur bagaimana untuk menjalankan sisa sifar atau meletakkan lebih banyak tong sampah di sekitar kawasan tersebut. Bantu mereka untuk menganjurkan acara pembersihan dengan kakitangan mereka selepas itu tetapi pastikan mereka juga membuat komitmen untuk meningkatkan pengurusan sisa mereka semasa festival.
Ambil maklum bahawa apa-apa kolaborasi memerlukan orang ramai bekerjasama. Anda mungkin mendapati orang memanggil anda untuk datang dan membersihkan kawasan yang kotor – ini bukan kerjasama! Perlu ada usaha bersama: contohnya, jika perniagaan menyediakan sukarelawan atau sumber lain untuk pembersihan dan bersetuju untuk menyediakan tong sampah sebaik sahaja kawasan itu bersih. Adalah penting bahawa Trash Hero tidak dilihat sebagai perkhidmatan pembersihan.
8. Gunakan media sosial dan media tradisional
Mengapa menggunakan media sosial?
Media sosial adalah alat komunikasi luaran yang paling penting untuk chapter anda.
Media sosial chapter anda adalah “imej” awam anda dan “suara” anda: anda mengawal apa yang disiarkan, dan bagaimana chapter anda dilihat.
Ia mempunyai beberapa tujuan, untuk:
MELIBATKAN
– tunjukkan tindakan anda kepada komuniti tempatan dan memberi kredit kepada rakan kongsi, penaja atau organisasi yang bekerjasama dengan anda
– membina jambatan penghubung antara masyarakat, terutamanya jika siaran adalah dwibahasa
– berhubung dengan masyarakat dan berkongsi maklumat melalui halaman dan kumpulan tempatan
INSPIRASI
– menunjukkan bahawa anda adalah sebahagian daripada komuniti Trash Hero di seluruh negara dan dunia dengan berkongsi siaran yang memberi inspirasi dari chapter lain
– menggalakkan tindakan kecil dengan menunjukkan kesan yang lebih luas: isu atau tindakan tempatan boleh dikaitkan dengan masalah global dan sebaliknya. Ini – menyebarkan mesej bahawa setiap tindakan dan setiap orang penting… bersama-sama kita membuat perubahan!
MEMAKLUMKAN
– pastikan komuniti anda mendapat maklumat terkini tentang projek dan pencapaian baharu
– tunjukkan ketelusan. Ini adalah bahagian yang sangat penting dalam Trash Hero
– simpan rekod foto dan data anda untuk pangkalan data Trash Hero World
TUNJUKKAN PENGHARGAAN
– pastikan penaja dan sukarelawan diiktiraf dan berterima kasih secara terbuka
– berikan publisiti percuma untuk perniagaan yang mengambil tindakan peduli alam sekitar.
Media sosial juga merupakan alat yang baik untuk komunikasi dalaman yang membantu membina rangkaian tempatan anda:
Gunakan WhatsApp / Telegram / Messenger untuk membuat kumpulan sembang, sebagai contoh, dengan penaja, rakan kongsi botol, pasukan anda dan sukarelawan biasa. Dengan cara ini, anda dapat mewujudkan komuniti, menyebarkan maklumat dengan cepat, mendapatkan maklum balas dan meminta sokongan.
Jika boleh, tag sukarelawan – contohnya pada gambar kumpulan di aktiviti pembersihan anda. Ini biasanya akan menyebarkan jangkauan foto di luar “pengikut” anda, iaitu kepada rakan orang tersebut. Setelah dihubungkan kepada orang, minta mereka mengikuti halaman atau akaun anda, atau menghantar jemputan peribadi kepada mereka ke pembersihan anda dan sebarang acara lain.
Apa dan bagaimana untuk berkongsi?
Bagi Trash Hero, perkara yang paling penting ialah menyiarkan maklumat positif dan optimis. Pastikan ia relevan, dengan rujukan tempatan jika boleh, dan pastikan tiada kandungan politik. Siarkan gambar dan video, dan cuba tambahkan sebarang teks dalam bahasa tempatan dan bahasa Inggeris. Tidak perlu kesempurnaan – yang paling penting ialah anda menceritakan kisah anda! Berikut adalah beberapa idea tentang apa yang perlu disiarkan:
- Cipta Album baharu di Facebook untuk setiap pembersihan yang anda lakukan (lihat: Pembersihan)
- Kongsikan sebarang acara atau tindakan lain yang anda lakukan – pastikan anda menunjukkan orang yang gembira dan tersenyum!
- Ucapkan terima kasih kepada penaja atas sokongan mereka, tidak kira sekecil mana pun
- “Meet a Trash Hero” – wawancara ringkas dan gambar salah satu pasukan anda atau sukarelawan pembersihan yang menjelaskan mengapa mereka menyertai Trash Hero
- Berikan maklumat tentang program botol atau beg anda, dan mana-mana rakan kongsi baru
- Sokong kumpulan lain yang serupa di kawasan anda, contohnya dengan berkongsi acara pembersihan mereka.
- Kongsi siaran dari chapter Trash Hero yang lain
- Kongsi artikel berita atau video mengenai pencemaran sisa dan plastik, dengan teks untuk menunjukkan kaitan setempat. Elakkan imej atau mesej negatif semata-mata.
- Jika atas apa-apa sebab, anda tidak mempunyai ‘berita’ untuk dikongsi, mengapa tidak siarkan gambar matahari terbenam yang indah? Meraikan keindahan kawasan anda mengingatkan semua orang mengapa kita harus memastikan ia bersih.
Cuba menyiarkan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali seminggu, tetapi tidak lebih daripada satu siaran setiap hari.
Facebook mempunyai alat untuk membantu anda kekal teratur: contohnya, anda boleh “menjadualkan siaran” untuk diterbitkan secara automatik pada masa yang ditetapkan; gunakan siaran “acara” untuk mempromosikan pembersihan anda; dan gunakan “album foto” untuk membuat bahagian berasingan untuk diari pembersihan anda, portfolio penaja, rangkaian stesen pengisian semula dll.
Peraturan asas untuk komunikasi
Apabila halaman anda mula melibatkan komuniti tempatan, anda akan mendapat komen dan mesej pada siaran anda. Tidak semua akan bernada positif. Ingat perkara berikut apabila anda menjawab sebarang komen:
– Trash Hero tidak menuding jari. Ini bermakna kita tidak menyalahkan atau membuat orang berasa bersalah.
– Jangan terjerumus berhujah. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan. Sebaliknya bertindak balas dengan cara yang baik dan mesra, tumpukan pada misi dan fakta Trash Hero.
– Pastikan semua komunikasi sopan dan optimis.
Di luar halaman Facebook: saluran lain
Facebook adalah fokus utama kami. Walau bagaimanapun, kami juga aktif di Instagram dan chapter anda boleh menggunakannya, Twitter atau mana-mana saluran media sosial tempatan yang lain. Sila maklumkan kepada pasukan mentor anda jika anda ingin membuka akaun media sosial baharu, dan ikuti garis panduan yang sama untuk menyiarkan seperti yang dinyatakan di atas.
Di YouTube, Trash Hero World mempunyai salurannya sendiri, dan kami juga mempunyai beberapa saluran berasaskan negara. Kami lebih suka jika chapter berkongsi video mereka melalui saluran ini daripada membuka saluran sendiri. Sekiranya anda mempunyai klip hebat untuk dikongsi, hubungi pasukan mentor anda dan mereka akan memuat naiknya ke salah satu saluran YouTube kami, dan kredit kepada chapter anda.
Mendekati dan bercakap dengan media tradisional: TV, akhbar dll.
Liputan media sangat bagus kerana ia membantu menyebarkan berita mengenai Trash Hero. Tetapi ia juga berisiko, kerana kita tidak selalu dapat mengawal bagaimana aktiviti kita digambarkan.
Adalah idea yang baik untuk menghubungi media tempatan (TV, akhbar dan lain-lain) sejurus selepas anda memulakan chapter anda. Bina hubungan yang baik dengan mereka, maklumkan kepada mereka tentang acara khas dan jemput mereka untuk menyertai. Sebaik sahaja anda mengembangkan rangkaian anda, media nasional dan antarabangsa juga boleh menghubungi anda secara terus.
Jika anda dihubungi oleh mana-mana media luaran (TV, blog, majalah) untuk ditemu bual, pastikan mereka jelas terlebih dahulu apa itu Trash Hero dan pendekatan positif dan inklusif kita. Ia juga berguna untuk menyemak mesej yang mereka maksudkan sebelum anda bersetuju. Sebagai contoh, kami menemui sebuah saluran berita tempatan yang ingin memberi tumpuan kepada pasangan orang asing yang mereka lihat semasa pembersihan, untuk mencuba dan “memalukan” penduduk tempatan bahawa orang barat membersihkan pantai mereka, dan bukannya mengiktiraf bahawa terdapat usaha komuniti yang berlaku.
Semasa ditemu bual, pakai t-shirt Trash Hero anda – walaupun anda berada di radio! Ini akan memberi anda keyakinan dan kelihatan menarik pada mana-mana foto yang anda ambil untuk disiarkan kemudian. Tidak kira apa yang ditanya kepada anda, bersikap positif dan sentiasa yakin tentang apa yang anda katakan (jangan membuat kenyataan liar di bawah tekanan!).
Ubah hala soalan tentang siapa yang harus dipersalahkan untuk sampah dan lain-lain ke arah yang positif: “itu bukan sesuatu yang kita rasa membantu; sebaliknya kami menumpukan perhatian untuk menyatukan orang ramai dan mencari penyelesaian … Dan jangan merasa anda perlu memberikan jawapan kepada semua soalan: “Saya tidak tahu” adalah jawapan yang sah.
Jika anda berasa gementar, cuba berehat. Anda tidak perlu menjadi jurucakap profesional, jawab dari hati anda, dan berpegang pada perkara yang anda tahu adalah benar. Anda juga boleh membuat persediaan dengan menonton klip media sedia ada dan membaca artikel dari chapter Trash Hero lain, untuk melihat bagaimana mereka mengendalikannya.
Jika anda mempunyai soalan bertulis untuk dijawab, ini sepatutnya lebih mudah: terdapat maklumat umum mengenai Trash Hero di laman web, dan juga dalam dokumen ini, yang boleh membantu anda.
Selepas sebarang temu bual, minta untuk melihat bahagian akhir sebelum ia diterbitkan / disiarkan. Ini mungkin tidak dapat selalu dilakukan, tetapi penting untuk bertanya: liputan yang buruk boleh merosakkan bukan sahaja reputasi anda secara tempatan tetapi semua kumpulan Trash Hero di seluruh dunia. Sekiranya anda melihat bahagian tersebut dan tidak pasti mengenai hasilnya, hubungi pasukan mentor anda untuk memeriksanya.
Kongsi semua liputan media di saluran media sosial anda, dengan pautan jika ada. Sila hantar maklumat kepada pasukan negara anda dan Trash Hero World supaya kami boleh menyiarkannya di laman web.
“Mana-mana saluran anda gunakan, sentiasa jadikan komunikasi anda sopan dan positif.”
9. Mendapatkan penaja
Sokongan tempatan adalah kunci kejayaan chapter anda. Penaja harus datang dari komuniti anda, dan semua orang harus mempunyai peluang untuk mengambil bahagian. Perniagaan kecil adalah sama pentingnya dengan yang besar.
Sekiranya seseorang dalam pasukan anda memiliki perniagaan, mudah untuk menggunakannya untuk menaja semua aktiviti pada awalnya. Tapi tolong jangan! Adalah penting tiada perniagaan yang berkaitan secara langsung dengan Trash Hero. Sebagai contoh, perniagaan ini boleh menaja pembersihan dari semasa ke semasa, tetapi tidak sepatutnya menjadi penaja utama atau satu-satunya penaja, dan kedai mereka tidak sepatutnya menjadi titik pertemuan. Orang lain tidak akan terlibat dengan Trash Hero jika mereka fikir ia adalah aktiviti untuk mempromosikan perniagaan anda, atau anda mengambil kesempatan peribadi daripadanya.
Bagaimana untuk mendekati perniagaan
Gunakan rangkaian anda untuk mencari kenalan. Mempunyai orang yang disyorkan yang boleh anda dekati dalam perniagaan memudahkan anda untuk berhubung. Bergantung pada saiz dan lokasi perniagaan, anda boleh berhubung pertama kali melalui e-mel, telefon atau secara peribadi.
Jika anda pergi sendiri, dan anda tidak mempunyai nama kenalan, minta untuk bercakap terus dengan pengurus atau pemilik. Jika mereka tidak ada, aturkan mesyuarat bersemuka kemudian (ini harus sentiasa dilakukan jika anda berhubung melalui telefon atau menghantar e-mel). Pakai baju Trash Hero kuning anda supaya anda neutral dan tidak mewakili sebarang perniagaan di kawasan ini.
Sediakan diri anda dengan baik: bolehkah anda menerangkan misi dan pendekatan Trash Hero dalam dua minit atau 10 minit? Anda tidak tahu berapa banyak waktu yang akan anda dapat. Jadi sangat spesifik tentang bagaimana perniagaan boleh terlibat dalam tindakan anda dan jenis sokongan yang anda perlukan.
Pada permulaan, jangan meminta terlalu banyak bantuan. Perniagaan boleh menderma sedikit dan apabila mereka gembira mereka akan membantu lebih banyak. Sebagai contoh: minta 30 beg sampah atau buah-buahan untuk pembersihan seterusnya.
Sebaik sahaja anda membina kepercayaan, cuba buat perjanjian dengan perniagaan untuk mendapatkan sokongan secara tetap. Sebagai contoh: Resort A menyediakan makanan percuma selepas pembersihan untuk sukarelawan sekali sebulan. Ini juga akan membantu anda dalam perancangan anda.
Pastikan anda tidak menerima apa-apa sumbangan wang am, dan mereka tahu bahawa anda adalah sukarelawan. Jika anda mempunyai masa, tunjukkan beberapa gambar daripada Trash Hero pada telefon atau komputer riba, atau sediakan pembentangan ringkas. Sentiasa berikan mereka butiran hubungan anda, dan alamat laman web / Facebook supaya mereka boleh mengetahui lebih lanjut jika berminat.
Contoh pembentangan umum boleh didapati di sini.
Tanya pasukan mentor anda, atau chapter tempatan lain di negara anda, jika mereka mempunyai templat e-mel yang boleh anda gunakan dan ubah suai, contohnya:
– surat untuk memperkenalkan Projek Botol
– jemputan untuk menyertai pembersihan dengan kakitangan
Anda boleh menghubungi chapter lain melalui Trash Hero Family intranet.
Kekal berhubung dengan penaja anda
Pastikan penaja anda dimaklumkan tentang aktiviti anda dan pastikan semua orang tahu hasilnya adalah berkat sokongan mereka. Sebagai contoh, letakkan semuanya dalam kumpulan sembang Line atau WhatsApp, atau hantarkan e-mel kepada mereka dengan kemas kini anda, keperluan anda dan sebarang resit untuk menunjukkan bahawa anda telus. Anda juga boleh melibatkan agensi kerajaan dalam sembang itu, atau rakan kongsi / organisasi bukan keuntungan lain.
Kekal positif
Sesetengah pihak memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami apa itu Trash Hero. Oleh itu, ia normal jika beberapa perniagaan tidak berminat untuk terlibat. Tetapi akan selalu ada pihak yang akan menyokong anda, dan sebaik sahaja anda mula menunjukkan kegiatan anda di media sosial anda akan melihat bahawa orang lain akan turut menyokong anda.
Malangnya anda juga mungkin menemui orang yang sangat negatif atau tidak menghormati anda secara peribadi atau kepada Trash Hero secara umum. Ingatlah untuk tetap gembira dan positif, dan yakinlah bahwa akan selalu ada harapan 🙂
Nota: Sekiranya anda mempunyai penaja yang bersedia menyokong pergerakan global dengan sumbangan, sila maklumkan kepada pasukan negara atau Trash Hero World mengenainya. Derma wang tidak boleh diterima oleh chapter tempatan.
10. Mengelola sukarelawan
Meningkatkan penyertaan
Walaupun selepas anda ditubuhkan, adalah penting untuk terus meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti Trash Hero.
– Pastikan pasukan teras anda dan semua aktiviti terbuka kepada pendatang baru
– Iklankan untuk sukarelawan pasukan di media sosial – kedua-dua saluran anda sendiri dan mana-mana kumpulan tempatan
– Minta orang ramai membawa rakan-rakan bersama-sama untuk pembersihan.
– Edarkan poster ke tempat baru, tanya media tempatan jika mereka akan mempertimbangkan untuk meletakkan iklan percuma untuk pembersihan anda, atau dapatkan sekolah menyelam untuk menunjukkan video Trash Hero di kedai atau bot mereka.
Jadilah kreatif!
Memberi latihan
Apabila anda semakin berpengalaman, sebarkan pengetahuan itu. Berikan sukarelawan tetap anda tanggungjawab tambahan untuk beberapa tugas untuk memastikan mereka terlibat, dan juga untuk meringankan beban anda sendiri. Sebagai contoh, mereka boleh mengedarkan poster pembersihan, atau melakukan fotografi di pembersihan.
Terus meraikan
Seiring berjalannya waktu, anda mungkin jadi kurang meraikan tindakan dan kejayaan anda. Tetapi ini sangat penting untuk memotivasi sukarelawan. Semak sama ada anda mempunyai “ulang tahun” akan datang – mungkin 50 pembersihan, atau hari jadi chapter anda. Rancang pembersihan di lokasi khas, atau penaja khas yang mungkin menyediakan kek atau hadiah untuk sukarelawan selepas itu.
Urus konflik
Kadang-kadang anda mungkin mendapati orang yang mengkritik sama ada pasukan anda atau Trash Hero secara umum. Ini selalunya kerana mereka tidak bersetuju dengan pendekatan kita, atau berpendapat mereka boleh mendapatkan “hasil” yang lebih baik dengan melakukan perkara secara berbeza. Dalam hal ini – atau mana-mana – kes konflik, adalah penting untuk tidak marah, sarkastik, atau terlalu ambil hati, kerana ini akan memperbesarkan masalah.
Sekiranya komen dibuat dalam talian di khalayak ramai, cuba bawa perbincangan ke saluran peribadi atau, lebih baik lagi, di luar talian. Perbualan bersemuka atau panggilan telefon sering membantu meredakan keadaan dan mengelakkan salah faham. Secara umum adalah lebih baik untuk tidak memadam komen melainkan ia adalah serangan peribadi atau mengandungi ucapan kebencian.
Dalam sebarang perbincangan, dengar secara aktif dan cuba fahami apakah isunya, dan terangkan dasar kami berhubung dengannya – rujuk dokumen ini untuk “garis panduan rasmi”. Hormatilah semua sudut pandangan, dan emosi yang diungkapkan oleh setiap orang.
Sekiranya anda memerlukan bantuan untuk menyelesaikan konflik atau merangka respons, hubungi pasukan mentor anda atau minta nasihat melalui intranet Keluarga Trash Hero.
11. Jangan putus asa!
Jalan ke arah memberi impak positif boleh dipenuhi dengan kekecewaan, kebosanan, atau ketakutan. Ingat bahawa anda mempunyai keluarga besar Trash Hero di belakang anda dan membersihkan hal-hal negatif adalah kepakaran kita 😉
Percaya pada misi dab diri anda, dan terima hakikat untuk memulakan dan mengubah sesuatu memerlukan masa.
Berurusan dengan komen negatif atau kritikan
Trash Hero sangat aktif dalam komuniti dan kebanyakan orang akan mempunyai pendapat mengenai kita. Majoriti akan bersikap positif dan menggalakkan; namun akan ada sebagian kecil yang mengkritik, merendahkan atau bahkan menyerang. Ia membantu jika anda tidak fokus kepada yang negatif, atau mengambil kritikan secara peribadi.
Kekal neutral dan mesra. Mungkin orang itu tidak benar-benar memahami pendekatan Trash Hero, atau bahawa kita semua sukarelawan.
Sebaliknya, ambil maklum balas dengan serius dan cuba memahami kedudukan atau kemarahan orang lain. Dalam kes konflik secara bersemuka, tunjukkan anda sedang mendengar. Kalimat ‘Saya faham anda, tetapi kami mengambil pendekatan yang berbeza’ sering dapat menenangkan keadaan.
Jika anda mempunyai orang yang sentiasa negatif dalam pasukan anda, bercakap secara terbuka kepada mereka dan cari penyelesaian bersama. Mungkin mereka merasakan sumbangan mereka tidak diiktiraf, atau mungkinmereka lebih sesuai dengan organisasi lain yang menggunakan pendekatan berbeza.
Sekiranya anda perlu mendapatkan nasihat mengenai situasi apa pun, berunding dengan pasukan chapter anda, pasukan mentor, atau chapter Trash Hero lain yang sesuai.
Berurusan dengan kekurangan penaja atau sukarelawan
Mungkin anda mengalami “musim lenggang”, atau mungkin anda kehilangan momentum, dan anda lihat penaja kurang responsif dan lebih sedikit orang yang muncul ke aktiviti pembersihan. Atau, anda baru sahaja memulakan chapter dan kecewa dengan kekurangan sokongan komuniti.
Ia mengambil masa untuk orang memahami apa itu Trash Hero, dan untuk membina kepercayaan. Ia juga memerlukan usaha untuk meneruskannya, minggu demi minggu. Bersikap terbuka dengan pasukan anda mengenai perkara ini dan kreatiflah dalam mencari solusi. Anda mungkin mendapat idea baru dengan sumbang saran bersama, atau dengan rakan-rakan Trash Hero yang lain.
Perlu diingat juga bahawa kejayaan bukan hanya diukur pada angka! Cuba perhatikan dan raikan kesan yang lebih halus dari keseluruhan impak anda. Ini boleh memberi anda rangsangan motivasi.
Sebagai contoh, selepas bekerja beberapa minggu melakukan pembersihan bersama dengan Jabatan Taman Negara, satu chapter Trash Hero mendapati papan tanda baharu telah diletakkan di ibu pejabat. Tanda-tanda telah berubah daripada “penalti US$15 untuk membuang sampah” (gambar atas, di atas) kepada mesej yang lebih lembut dan lebih positif (imej di bawah): “Mari kita bersama-sama untuk menyelesaikan masalah sampah – jika anda boleh melakukan ini, anda adalah seorang wira!”.
Cari perubahan sikap yang kecil di sekeliling anda: walaupun anda tidak dapat mengambil semua kredit, ia seronok dilihat, dan ia bernilai sama seperti nombor sukarelawan.
Berurusan dengan tekanan atau keletihan pada pasukan anda
Masalah: Terdapat banyak tugas yang perlu diselesaikan dalam masa yang singkat dengan jumlah orang yang sedikit.
Penyelesaian: Duduk bersama-sama dan lihat dengan teliti, bolehkah tugas digabungkan? Adakah tugas ini perlu pada masa ini? Utamakan dan fokus pada satu atau dua tugas.
Masalah: Tugas menjadi beban atau membosankan selepas beberapa ketika.
Penyelesaian: Lihat sama ada anda boleh bertukar tugas dengan anggota lain dalam pasukan anda atau menjemput orang lain untuk mengambil tugas tersebut melalui Facebook atau mengumumkannya di aksi pembersihan.
Masalah: Anda berasa sangat bersemangat dan ingin melancarkan banyak projek, atau terlibat dalam tindakan tempatan yang lain, semuanya pada masa yang sama.
Penyelesaian: Fokus dan bertenang! Sudah tentu anda mahu menyelesaikan banyak perkara, dengan cepat dan dengan cara yang terbaik. Tetapi tumpukan perhatian pada tugas pertama dengan betul, dan kejayaan tugasan lain akan menyusul.
Masalah: Anda berasa seperti anda telah bekerja tanpa henti untuk Trash Hero, dan kerja anda sendiri terabai, atau anda berasa letih.
Penyelesaian: Berehat! Hentikan pembersihan selama satu atau dua minggu, ambil cuti beberapa hari atau hadkan masa anda kepada hari-hari tertentu untuk melakukan tugas Trash Hero. Ini bukanlah kegagalan, ia adalah keperluan — dan anda akan kembali dengan lebih banyak tenaga, idea dan semangat.
Ingat, bukan anda seorang mengalami pengalaman seperti ini. Tetaplah berpegang pada pendekatan Trash Hero, bersabarlah dengan diri sendiri dan orang di sekeliling anda, dan dapatkan maklum balas atau nasihat. Hal yang hebat tentang Trash Hero adalah bahwa selalu terbuka kepada satu sama lain.
12. Menyokong misi Trash Hero yang lebih luas
Sebagai Trash Hero, anda adalah sebahagian daripada rangkaian keluarga kami dan membantu kami menyebarkan mesej ke seluruh dunia. Menjadi contoh yang baik adalah penting: tindakan anda mencerminkan kita semua, dan sikap anda boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyertai kita. Chapter baharu Trash Hero sering dimulakan selepas orang menyertai pembersihan di satu tempat dan terinspirasi melakukan hal yang sama.
Perkara yang boleh anda lakukan untuk mengembangkan dan memperkuat rangkaian:
- Kongsi cerita anda dengan negara anda atau organisasi dunia. Anda boleh melakukan ini dengan menandakan mereka pada siaran media sosial, menghantar e-mel atau berkongsi di intranet Keluarga Trash Hero.
- Mengambil bahagian dalam perbincangan di intranet, berkongsi pengalaman dan berikan bantuan anda.
- Sentiasa berikan contoh yang baik kerana kita membawa nama Trash Hero. Sebagai contoh, cuba tolak plastik di mana saja dan jangan gunakan sebarang penyedut minuman plastik, beg dan botol dalam kehidupan seharian anda.
- Di negara-negara di mana banyak chapter aktif, kami menganjurkan Mesyuarat Keluarga Trash Hero, dua kali setahun, untuk berkongsi pengalaman dan belajar dari satu sama lain. Berusahalah untuk sertai acara ini – ini adalah cara terbaik untuk mengenali rakan-rakan Trash Hero dan mendapat motivasi untuk projek yang akan datang.
- Sebaik sahaja anda mendapat lebih banyak pengalaman, anda mungkin ingin terlibat dalam pasukan mentor dan membantu memulakan dan menyokong Trash Hero chapter yang lain.
- Ikuti garis panduan jenama kami semasa membuat bahan untuk chapter anda. Penting untuk jenama Trash Hero kekal profesional dan konsisten, dan pasukan reka bentuk kami akan membantu anda untuk mencapai matlamat ini.
Jika anda mempunyai kenalan atau rakan yang ingin membantu Trash Hero tetapi tidak dapat membantu di lokasi anda, sila arahkan mereka ke laman web kami. Sukarelawan yang berkemahiran sentiasa dialu-alukan!
Bersama-sama kita membuat perubahan! Dan jika anda masih membaca panduan ini, anda adalah wira sejati 😉
Ada apa-apa yang ingin anda tambah?
Kami telah cuba menjadikan buku panduan ini semudah mungkin.
Walau bagaimanapun, jika anda menemui sebarang kekurangan, atau ingin membuat cadangan untuk edisi seterusnya, sila hantar maklum balas anda.
Untuk soalan yang berkaitan dengan perjalanan chapter anda, sentiasa hubungi pasukan mentor anda terlebih dahulu. Terima kasih!
Join the conversation